Berita Utama

Bapa tikam bayi 20 bulan disahkan positif dadah

Mangsa selesai jalani pembedahan stabil

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Ujian air kencing seorang suspek lelaki yang menikam anak perempuan kandungnya berusia setahun lapan bulan disahkan positif dadah jenis Metamfetamin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan reman selama lima hari sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaaan parah.

“Pihak polis sedang mengesan keberadaan bekas isteri suspek iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu bagi tujuan siasatan kes,” katanya pada Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman berkata, motif kejadian itu berlaku dipercayai suspek mengalami tekanan perasaan akibat ditinggalkan isterinya.

“Suspek sebelum ini menetap di rumah keluarganya di sebuah flat di Puchong Permai di sini sambil menjaga anak perempuan tunggalnya.

“Suspek bekerja sebagai pemasang pita penggelap cermin kereta di sebuah kedai aksesori kenderaan berdekatan di sekitar Puchong,” katanya dalam sidang media di Subang Perdana Court 10 di sini.

Abd Khalid juga berkata, mangsa telah dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur semalam bagi menjalani pembedahan.

Beliau berkata, mangsa telah selesai menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di bawah jagaan unit rawatan rapi (ICU).

Semalam, Bernama melaporkan seorang bapa ditahan kerana disyaki menikam perut bayi perempuannya di sebuah flat di Puchong Permai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button