Berita Utama

Barang cukup, jangan buat pembelian panik

Pegawai KPDNHEP pantau barang apa kurang atau naik harga

HULU TERENGGANU, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Rakyat tidak perlu melakukan pembelian barangan secara panik, meskipun terdapat laporan yang mendakwa jumlah kes penularan COVID-19 di Malaysia dijangka menjadi lebih serius tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, sepanjang negara menghadapi tempoh penularan COVID-19.

“Setiap hari pegawai KPDNHEP akan melaporkan kepada saya tentang keberadaan barangan dalam pasaran berserta dengan harga sekali. Jadi kita memang pantau barang apa yang berkurangan atau barang mana yang naik harga,” katanya selepas melawat Pusat Tanaman Fertigasi Kampung Pela di sini hari ini.

“Kita ada pengalaman semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac, berlaku pembelian panik. Kemudian ketika pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan nampaknya rakyat tidak panik.

“Lagipun tahun hadapan dijangka Malaysia akan memperoleh vaksin COVID-19, jadi kita harap perkara itu (kes COVID-19 di Malaysia akan menjadi lebih serius) tidak akan terjadi,” katanya.

Dilaporkan seorang pakar epidemiologi merangkap penasihat perubatan kerajaan China Zhong Nanshan sebagai berkata, jumlah kes penularan COVID-19 di Malaysia dijangka menjadi lebih serius pada tahun hadapan, dan dijangka negara ini bakal mencatat 187,997 kes pandemik berkenaan pada 25 Jan 2021.

Sementara itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu akan memohon peruntukan kira-kira RM30,000 bagi membaiki sistem paip di Pusat Tanaman Fertigasi Kampung Pela, yang menggunakan sumber air bukit.

Katanya pusat tanaman fertigasi berkelompok seluas lima hektar itu, mempunyai seramai 20 peserta yang menanam pelbagai tanaman termasuk timun dan cili. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button