Berita Utama

Kerajaan patut mansuh dulu skim pencen ahli politik: Ceupacs

Penjawat awam pilih skim pencen rata-rata berkhidmat lebih 30 tahun

BANGI, 13 Rejab 1445H, Khamis – Sekiranya kerajaan benar-benar mahu memansuhkan skim pencen penjawat awam seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, tindakan itu harus bermula dengan ahli politik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, jika kekangan kewangan yang menyebabkan kerajaan membuat keputusan itu, maka pemberian pencen kepada ahli politik juga perlu dikaji semula.

Ketika ini, ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk yang dilantik ke jawatan eksekutif seperti EXCO negeri, menteri serta timbalan menteri layak menerima pencen.

“Pemansuhan pemberian pencen kepada golongan ini terlebih dahulu adalah langkah yang tepat kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun saja.

“Kumpulan ini bukan saja menerima elaun serta peruntukan tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kabinet bersetuju agar perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap adalah tidak berpencen selepas ini.

Beliau berkata, satu pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Menurutnya, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas perkara itu, Adnan berkata, kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam ini kerana secara puratanya mereka berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Bahkan, kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak.

Tambahan pula katanya, skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat tidak membantu penjawat awam, mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button