Berita Utama

Filem ‘Babi’: SENIMAN perlu kemuka aduan kepada SKMM

Masih tunggu maklum balas daripada YouTube yang berpangkalan di luar negara

BANGI, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) diminta untuk mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan filem karya individu kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee.

Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM berkata, aduan berkenaan bagi membolehkan penilaian dilakukan terhadap kandungan filem berkenaan.

Suruhanjaya itu berkata, proses penelitian terhadap kandungan itu boleh dilakukan berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan.

“Sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan megikut undang-undang,” katanya.

Jelas SKMM, pihakanya telah berhubung dengan YouTube pada 19 November lalu berkaitan trailer filem Babi, yang dimuat naik dalam saluran milik Namawee.

“Namun, SKMM masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka (YouTube) yang berpangkalan di luar negara,” katanya.

Sebelum ini, SENIMAN pada Jumaat membuat laporan polis terhadap filem ‘Babi’ karya Namawee yang ditayangkan di luar negara, kerana dipercayai mempunyai unsur perkauman dan didakwa telah menjejaskan imej Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, selepas menonton klip video filem itu, secara peribadi beliau berpendapat terdapat unsur-unsur perkauman di dalam filem itu meskipun dikatakan ia dibuat berdasarkan kisah benar.

Beliau berkata, pihaknya bersikap terbuka bagi mana-mana pihak di negara ini yang mahu menerbitkan sebarang filem, namun ia harus berpandukan garis panduan ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Lembaga Penapis Filem.

“Kami tidak menyekat mana-mana pihak untuk membuat filem yang kritis tetapi kita kena faham bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang hidup dengan pelbagai kaum.

“Selain itu, kami juga menggesa agar SKMM untuk menyekat filem berkenaan di mana-mana platform media sosial termasuklah di YouTube,” katanya.

Filem berkenaan didakwa mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah di selatan tanah air pada tahun 2000.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button