Berita Utama

Banyak kes bankrap kerana gagal lunas pinjaman

Meski ekonomi stabil rakyat masih terjejas akibat kenaikan kos sara hidup

BANGI, 24 Zulkaedah 1444H, Selasa – Peningkatan kes bankrap dalam kalangan rakyat Malaysia memberi petanda tahap literasi kawangan masyarakat perlu ditingkatkan melalui pendidikan di semua peringkat.

Pengarah Pusat Kajian Kerajaan Tempatan UUM, Prof Madya Dr Ahmad Zubir Ibrahim berkata, jumlah kes kebankrapan yang berlaku dalam negara mungkin disebabkan kurangnya ilmu pengurusan kewangan atau amalan gaya hidup yang keterlaluan.

“Walaupun apa pun alasannya, masyarakat harus tahu dan faham hala tuju jelas dalam menentukan di antara keperluan, kehendak dan gaya hidup. Perkara ini harus diberi perhatian dan keutamaan bagi mengelakkan mereka terhumban dalam kebankrapan.

“Literasi kewangan dilihat sebagai satu mekanisme perlu dilaksanakan di semua peringkat ketika ini dan masa depan. Ia harus garap dalam silibus atau kurikulum pendidikan di sekolah atau pengajian tinggi,” katanya.

Menulis rencana di Berita Harian, beliau mengulas bahawa pendidikan literasi kewangan perlu didedahkan dan ditambah baik sekiranya mahu memastikan generasi akan datang tidak terperangkap dalam kadar keberhutangan tinggi.

Beliau juga berkata, sikap tidak dapat membezakan keperluan dan kehendak menyebabkan sesetengah individu terperangkap dalam situasi yang membawa kepada kebankrapan.

Dalam pada itu, beliau berkongsi jumlah dan punca kebankrapan yang berlaku dalam negara sejak April lalu.

“Sementara itu, sehingga April lalu, sebanyak 264,127 jumlah kes kebankrapan ditadbir Jabatan Insolvensi. Dalam tempoh 2019 hingga April 2023, sebanyak 13,073 kes bankrap (38.40 peratus) dalam kalangan umur 35 hingga 44 tahun.

“Sebanyak 9,112 kes (26.77 peratus) pula antara umur 45 hingga 54 tahun dan 18.63 peratus (6341 kes) bagi golongan umur 25 hingga 34 tahun.

“Kebanyakan kes kebankrapan berpunca daripada kegagalan melunaskan bayaran pinjaman terutama pinjaman peribadi (16,755 kes), pinjaman perniagaan (5,806 kes), sewa beli kenderaan (3,782 kes), pinjaman perumahan (2,818) dan hutang kad kredit (2,162 kes),” katanya.

Beliau turut menambah, sukar untuk menafikan keadaan rakyat yang masih terkesan dan terjejas akibat kenaikan kos sara hidup walaupun ekonomi negara semakin stabil.

“Namun jika diamati di peringkat mikro, kesan ketidakstabilan ekonomi masih dirasai setiap penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah atau B40 termasuk sebahagian M40.

“Ia ditambah pula dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus, secara tidak langsung mengubah corak perbelanjaan isi rumah.

“Dalam erti kata lain, peningkatan OPR secara langsung mengurangkan kuasa beli isi rumah. Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) memperlihatkan inflasi mereda kepada 3.3 peratus pada April lalu berbanding bulan sama 2022,”katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button