Berita Utama

Kes cap palsu: 8 pegawai Imigresen didakwa terima wang sogokan

Suspek memperakukan cap keluar, masuk pasport warga asing

BANGI, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Lapan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam Op Selat bulan lalu akan didakwa di enam negeri secara berasingan bermula Isnin hingga Rabu ini.

Difahamkan, masing-masing dua pegawai Imigresen akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan dan di Mahkamah Sesyen Johor, Johor Bahru esok.

Sumber berkata, dua lagi iaitu masing-masing seorang di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Sesyen Melaka.

“Seorang lagi akan dituduh pada 16 Disember di Mahkamah Sesyen Terengganu.

“Semua pegawai JIM berkenaan dituduh atas kesalahan menerima wang sogokan selepas memperakukan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar Malaysia.” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pada 16 November lalu, SPRM menjalankan satu operasi khas dengan kerjasama JIM yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Ia selepas tertangkapnya 46 individu dipercayai ahli sindiket itu dalam operasi besar-besaran dijalankan sebelum ini.

Seramai 46 individu termasuk 27 pegawai Imigresen dilaporkan ditahan dalam serbuan serentak di empat negeri, selepas disyaki terbabit sindiket berkenaan.

Selain 27 pegawai Imigresen, turut ditahan 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam semuanya berusia antara 21 hingga 46 tahun, yang dipercayai orang tengah dalam operasi haram itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button