Berita Utama

Kes tinggi COVID-19 Sabah berpunca saringan 12 kluster

Aktiviti majlis sosial tanpa patuhi SOP tingkatkan risiko penularan

KOTA KINABALU, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Sabah mencatatkan kes baharu agak tinggi hari ini iaitu sebanyak 333 kes, kebanyakannya berpunca daripada saringan ke atas 12 kluster sedia ada, yang merekodkan 166 kes iaitu hampir 50 peratus daripada jumlah kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri berkata, kluster yang merekodkan jumlah tertinggi ialah Kluster Rumah Merah yang mencatatkan 78 kes baharu hari ini.

“Selain itu, 104 kes baharu adalah daripada saringan kontak rapat di 13 daerah, saringan bergejala 42 kes, saringan komuniti dua kes, manakala selebihnya adalah dalam lain-lain kategori,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kebelakangan ini, didapati semakin banyak kluster yang terbentuk daripada penganjuran majlis-majlis sosial yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, termasuk majlis sosial yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

“Aktiviti majlis sosial tanpa mematuhi SOP akan meningkatkan risiko penularan COVID-19. Justeru, adalah penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling daripada mendapat jangkitan,” katanya.

Sementara itu Masidi berkata, Sabah kini mempunyai 6,595 katil untuk merawat pesakit COVID-19 dengan 28.87 peratus sedang digunakan dan daripada jumlah itu, 1,029 katil adalah di hospital manakala selebihnya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button