Berita Utama

Ketepikan dahulu politik, gembleng usaha pulih sosioekonomi rakyat

Rakyat nilai sejauh mana parti berpengaruh perjuangkan nasib mereka

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Ahli politik digesa memberi penekanan kepada pembangunan atau pemulihan ekonomi daripada bergelut berebutkan kuasa serta jawatan.

Pemerhati politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, rakyat sudah muak dengan konflik politik ketika pandemik COVID-19 dan kecelaruan politik nasional yang tidak berkesudahan.

Beliau mengingatkan ketika ini rakyat sedang memerhati situasi politik mutakhir dengan menilai strategi, kekuatan dan reputasi parti politik – bukan sahaja membabitkan percaturan politik semata-mata tetapi pembabitan jalinan kerjasama antara parti.

“Lantaran itu, rakyat hanya menjadi pihak pemerhati dalam urusan politik dan mengelak terjerumus dalam kancah politik.

“Tumpuan mereka hanya kepada memikirkan strategi pemulihan sosioekonomi taraf kehidupan mereka yang terancam akibat pandemik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut politik di Perak baru-baru ini susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang pada 5 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, penularan wabak politik seperti ‘domino effect’ mencuba kekuatan dan pengaruh parti membabitkan sandaran kepada cubaan praktis jalinan kerjasama antara parti serta persaingan kuasa dan pengaruh.

“Perlumbaan penguasaan politik yang memberi isyarat kepada kedudukan politik kerajaan Persekutuan yang tidak kukuh dan mengekalkan ancaman-ancaman yang boleh menggugat kestabilan politik negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kematangan rakyat tertumpu kepada sejauh mana parti berpengaruh membuat percaturan politik semasa dan menilai ketelusan, keikhlasan parti memperjuangkan nasib mereka dan negara.

“Ia juga termasuk bagaimana sistem dan mekanisme sistem Perlembagaan dan politik negara dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara serta mewujukan budaya demokratik baharu yang menganjurkan lebih banyak keterlibatan rakyat dalam dunia politik tanah air.

“Dan meningkatkan tuntutan keperluan rakyat untuk membangkitkan aspirasi negara mengikut acuan dan keperluan rakyat berbanding keperluan politik semata-mata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button