Berita Utama

MAQIS perlu anggota tambahan kawal sempadan negara

Jabatan itu hanya ada 467 anggota kawal 57 sempadan negara

ISKANDAR PUTERI, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad   -Pembongkaran kes kartel yang menyeludup masuk daging sejuk beku ke Malaysia baru-baru ini memperlihatkan terdapat keperluan mendesak untuk menambah anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di semua pintu masuk negara.

Timbalan Ketua Pengarah MAQIS Dr Azhari Sharidah Abu Bakar berkata, hal ini berikutan jabatan itu hanya mempunyai seramai 467 anggota untuk mengawal 57  pintu masuk di Semenanjung Malaysia. 

Beliau berkata, pemeriksaan di Sabah dan Sarawak pula terletak di bawah agensi berkaitan seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.

“Ketika ini, kita memang menghadapi masalah sebab pegawai kita tidak ramai untuk memeriksa kemasukan barangan di pintu masuk.

“Kita ada memohon pertambahan lebih 100 penjawatan baharu tahun lepas namun hanya 82 penjawatan diluluskan dan ini masih tidak cukup,” katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah ke pejabat Maqis di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini malam ini.

Pada 2 Disember lepas, media melaporkan terdapat sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum dibungkus semula dengan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.

Susulan pembongkaran itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) mendesak kerajaan menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara.

Mengulas lanjut mengenai kekurangan anggota, Dr Azhari Sharidah berkata di Pelabuhan Klang contohnya, hanya terdapat 24 anggota ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan secara manual terhadap 400 kontena sehari dan jumlah ini jelas tidak mencukupi.

“Pertambahan anggota lebih penting kerana pemeriksaan kami ketika ini tertumpu kepada barangan import yang melibatkan penggunaan kontena sejuk beku seperti daging dan ikan.

“Ini berikutan produk terbabit diklasifikasikan sebagai barangan berisiko tinggi terutamanya daging kerana produk terbabit hanya boleh diimport dari loji pemprosesan yang mendapat kelulusan Jabatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan kompaun mencecah RM3 juta atas lebih 700 kesalahan sejak Januari hingga November lepas dengan kesalahan paling tinggi membabitkan barangan import tanpa permit. -Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button