Berita Utama

‘Reset’ Malaysia perlu dilakukan segera!

Boleh berpolitik, tapi berpada-pada, jangan sampai halang pembangunan negara

BANGI, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Semua pihak termasuk ahli politik digesa memberi tumpuan kepada pembangunan negara, dengan menzahirkan idea bagi memantapkan ekonomi serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, rakyat telah jelak dengan mainan politik pelbagai pihak.

“Bukan tidak boleh berpolitik tetapi berpada-padalah agar ia tidak menghalang pembangunan negara.

“Saya tidak menujukan saranan ini kepada parti politik tertentu atau blok yang mana satu, tetapi kepada semua yang terlibat termasuklah penyokong parti masing-masing,” katanya.

Beliau mengakui sudah tiba masanya Malaysia menekan butang ‘reset’ bagi memformatkan kembali negara ini.

Katanya, banyak perkara yang boleh diusahakan termasuk mencipta peluang pekerjaan kepada golongan kehilangan pekerjaan akibat COVID-19, mencari formula supaya harga rumah lebih mampu dibeli di kalangan khalayak awam, memanfaatkan tenaga muda yang ramai tidak digunakan serta menyatukan perpaduan rakyat.

Tambahnya, peranan ahli politik yang terlalu besar menyebabkan kedudukan politik sangat didambakan oleh pelbagai pihak.

Malah, kerakusan menjawat jawatan politik telah menjadi rahsia terbuka kepada orang ramai.

“Kita perlu fikirkan bagaimana ahli legislatif kita perlu menumpukan perhatian penuh kepada penggubalan undang-undang sahaja dan keperluan rakyat diambil perhatian pihak lain seperti penjawat utama awam ataupun pihak berkuasa tempatan.

“Dengan cara itu, penggubal undang-undang akan lebih fokus menghadiri persidangan dan berbahas dengan fakta yang benar.

“Saya bukanlah menidakkan sumbangan politikus sekalian tetapi kita perlu menganjak minda dan berinovasi dengan upaya untuk membangun negara bingkas berdiri dan keluar daripada krisis kesihatan ekonomi dan politik seperti yang dinyatakan di atas,” katanya.

Jelasnya, tumpuan kepada pembangunan negara akan kurang diberi perhatian selagi rakyat masih bergelut dalam kancah politik seperti hari ini.

Tambahnya, keprihatinan pihak kerajaan juga adakalanya kerana kekhuatiran kuasa politik dirampas.

“Sekali lagi saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya dapat menganjak minda dan memikirkan kaedah untuk membangun negara bebas daripada belenggu politik kepartian seperti berlaku sekarang.

“Inilah masanya kita berkompromi demi membangunkan negara Malaysia. ‘Reset’ Malaysia perlu dilakukan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button