Berita Utama

4,400 hektar tanah diceroboh mesti dikembalikan pada kerajaan!

Tiada himpunan, hanya rancang solat hajat sebelum 23 Disember

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) merancang mengadakan solat hajat menjelang keputusan kes pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang pada 23 Disember ini.

9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menangguhkan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman difailkan 110 pekebun haram berikutan terdapat afidavit baharu dikemukakan pihak plaintif.

Penangguhan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi membolehkan pihak responden dan plaintif menyelesaikan pengurusan kes dan meneliti afidavit baharu untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan difailkan 94 lagi pekebun durian di Raub.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd an Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Walaupun kecewa dengan penangguhan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mengharapkan 23 Disember ini menjadi penentu akhir kepada isu pencerobohan di negeri berkenaan.

“Pelbagai isu rakyat, Melayu dan Islam kita bawa dan suarakan, dan ia berakhir dengan khabar gembira dan berpihak kepada kita semua.

“Kita juga berharap isu pencerobohan tanah ini juga memberi hasil yang memihak kepada kita dan rakyat khususnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Memandangkan situasi pandemik yang masih melanda negara, PEMBELA tiada rancangan untuk mengadakan perhimpunan umum, sebaliknya hanya solat hajat sahaja akan diadakan sehari sebelum keputusan mahkamah.

“InsyaAllah kita akan adakan solat hajat pada malam sebelum keputusan. 

“Kita tidak buat himpunan, tetapi kita menyeru semua rakyat terutama orang Pahang untuk hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan pada 23 Disember ini,” kata Haji Aminuddin. 

Beliau berkata, tiada apa yang diharapkan bagi pihak PEMBELA melainkan 4,400 hektar tanah yang diteroka dikembalikan semula kepada kerajaan.

“Dan kita juga mengharapkan sebahagian tanah itu diberikan kepada veteran-veteran tentera,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Dakwanya, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara selain memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan serta sumber air.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button