Berita Utama

58 kluster masih aktif di Sabah

283 kes positif, 64 kes daripada saringan kluster sedia ada

KOTA KINABALU, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Sebanyak 58 kluster COVID-19 daripada 100 kluster yang direkodkan di Sabah masih aktif, manakala 42 lagi telah ditamatkan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

“Tiada kluster baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini daripada 283 kes positif COVID-19 yang baharu dicatatkan di Sabah hari ini, sebanyak 64 kes adalah daripada saringan kluster sedia ada.

“Daerah Tuaran mencatat kes baharu tertinggi hari ini iaitu 50 kes melibatkan kluster di Telipok Ria. (Kes) Kota Kinabalu turun mendadak hari ini, hanya 49 kes kerana tiada kes baharu di kluster Rumah Merah,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri berkata, sebanyak 155 kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini dikesan daripada saringan kontak rapat di 10 daerah, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti (6), dan selebihnya lain-lain kategori.

Sementara itu, Masidi berkata, hanya 32.49 peratus daripada keseluruhan 6,595 katil di pusat rawatan COVID-19 negeri ini iaitu 1,029 di hospital dan selebihnya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah digunakan, yang menunjukkan Sabah masih mampu menampung permintaan rawatan bagi rakyatnya.

Mengenai kluster COVID-19 di Sabah, Masidi berkata antara daerah penyumbang tertinggi kepada kumulatif kluster di negeri itu ialah Kota Kinabalu dengan 22 kluster diikuti Sandakan (18) dan Tawau (16). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button