Berita Utama

Amaran cuaca waspada, hujan lebat di beberapa negeri

Banjir kilat di kawasan rendah, kerosakan struktur tak kukuh

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri, bermula 16 hingga 18 Disember.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon dalam satu kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Terengganu dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) serta di Sabah melibatkan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat.

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur semenanjung dan Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka berlaku melibatkan kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam, dalam tempoh berkenaan.

Negeri yang terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dalam kenyataan itu, beliau menyebut keadaan tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam, dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Sabah, dalam tempoh tersebut.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button