Berita Utama

Isytihar ketua sindiket jenayah warga asing ‘persona non grata’

Warga asing masuk secara tak sah turut dikenakan tindakan sama

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disaran mengisytiharkan ketua-ketua sindiket jenayah scam dan maksiat warga asing di negara ini sebagai ‘persona non grata’, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara itu berkata, pihaknya akan mengenal pasti mana-mana penjenayah warga asing untuk dirujuk kepada JIM bagi dikenakan tindakan sedemikian.

“Kami akan cadang kepada Jabatan Imigresen supaya penjenayah-penjenayah warga asing ini dikenakan pengisytiharan (persona non grata) berkenaan selepas mereka dikenal pasti terbabit dalam kegiatan haram ini.

“Dengan harapan mereka tidak boleh masuk (Malaysia) lagi. Seumur hidup (mereka) tidak boleh masuk ke dalam negara ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Mohamad Fauzi Md Isa berkata, seseorang warga asing dilarang memasuki Malaysia seumur hidupnya sekiranya diisytihar ‘persona non grata’.

“Bila dia tidak dibenarkan masuk, dia tidak dapat kemudahan imigresen yang diberikan kepada setiap warga asing itu misalnya mohon visa atau memohon permit kerja, ia tidak dibenarkan. Hendak masuk pun tak boleh,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada pendatang yang memasuki negara ini secara haram boleh dikenakan sama, beliau berkata, warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan akan disenarai hitamkan.

“Jadi, kesalahan menceroboh itu boleh dikenakan persona non grata dan pengisytiharan itu sudah lama dilaksanakan sejak penguatkuasaan akta (melibatkan pengisytiharaan itu),” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang didapati terbabit dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai persona non grata.

Keputusan itu terpakai untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas yang dimiliki.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) ketika dia berada di sesebuah negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button