Berita Utama

Kami tak tahan bau busuk, sungai dicemari najis babi

ISMA Perak, penduduk rayu pihak berkuasa bertindak segera

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Perak mengemukakan bantahan pembuangan sisa kumbahan penternakan babi ke sungai bersama penduduk setempat Bidor.

Bantahan itu dilakukan selepas Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya meluahkan rasa kesal apabila tiada sebarang tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa terhadap isu penternakan babi sehingga menyebabkan Sungai Kuala Gepai, Bidor tercemar.

Dalam bantahan yang dikemukakan hari ini, ahli ISMA Perak serta penduduk mengangkat beberapa kertas putih yang tertera tulisan di atasnya ‘Kami tidak tahan bau busuk’, ‘Siasat segera’ dan ‘Perak juara ternak babi’.

Mereka juga menggesa wakil rakyat serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk turun padang menyiasat isu berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Haji Aminuddin berkata, ISMA Perak telah berjumpa penduduk dan mula menggerakkan penduduk bagi membantah pencemaran tersebut dan merayu agar pihak berkuasa bertindak.

“Tahniah kepada penduduk dan mereka yang terlibat.

“Semoga ISMA terus menjadi sebuah organisasi ‘check and balance’ dalam membina masyarakat yang sejahtera,” katanya.

September lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyiasat dakwaan berhubung pembuangan air najis babi ke Sungai Kuala Gepai.

Ia susulan tular beberapa gambar di Facebook menunjukkan warna air sungai berkenaan yang kehitaman didakwa tercemar akibat pembuangan air najis dari ladang penternakan babi di kawasan berhampiran.

Seorang penduduk kampung, Abd Aziz Mohamed, 45, dilaporkan berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya berlarutan sejak bertahun-tahun, namun tiada penyelesaian sehingga sekarang walaupun banyak aduan dibuat kepada pihak berkaitan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button