Berita Utama

KKM kaji keperluan vaksin influenza pada golongan berisiko

Fasiliti kesihatan cukup tampung jumlah pesakit

KUALA TERENGGANU, 19 Muharam 1445H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada rakyat terutama golongan berisiko sekiranya diperlukan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun setakat ini kes jangkitan influenza dalam negara adalah terkawal dan pemberian vaksin di peringkat awal hanya akan melibatkan petugas KKM yang bekerja di barisan hadapan.

Beliau berkata, selain itu fasiliti kesihatan awam yang ada di seluruh negara juga cukup untuk menampung jumlah pesakit jika terdapat peningkatan kes influenza dalam masa terdekat.

“Berdasarkan data KKM untuk minggu epidemiologi ke-30 pada tahun ini, kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) di Klinik Kesihatan adalah 6.3 peratus, menurun berbanding minggu sebelum itu iaitu 6.4 peratus.

“Kadar kemasukan ke hospital pula adalah 7.1 peratus, juga sedikit menurun. Kes ada tapi setakat minggu akhir ini menurun…keadaan terkawal,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir yang mula beroperasi Januari 2020 di sini, hari ini.

Klinik Kesihatan Manir yang dibina dengan kos RM19.7 juta, mula dibangunkan pada Disember 2016 dan siap pada September 2019, bagi menggantikan klinik lama berusia 54 tahun dan dilengkapi peralatan berteknologi moden yang mampu menerima 600 pesakit pada satu masa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button