Berita Utama

Memualkan! Ahli politik ‘kutip’ SD ingkar nasihat Agong

Jadi petanda awal wujud bibit perpecahan dalam UMNO, BN?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Tindakan ‘mengutip’ akuan bersumpah (SD) demi kepentingan peribadi adalah memualkan dan tidak menghormati saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberhentikan segera segala politiking.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sekali lagi akan cuba meyakinkan Seri Paduka bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu didakwa sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD termasuk 10 daripada pemimpin UMNO bagi mengambil alih kerajaan.

Menurut sumber yang rapat dengan percaturan tersebut, antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang memberi sokongan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain Ahli Parlimen Pekan dan Bagan Datoh adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Nama Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Anggota Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria turut tersenarai.

Ketua Penerangan Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Asyraf Badhrul berkata, sekiranya benar berlaku seperti yang disebutkan sumber itu, perbuatan ‘kutip SD’ demi kepentingan peribadi adalah memualkan.

Bahkan tindakan itu juga tidak menghormati Agong yang telah bertitah untuk ahli politik tidak lagi terus menerus mengheret rakyat ke kancah politik tidak menentu, katanya.

“Tapi perkara ini tak mengejutkan kita pun, memang kita tahu ahli politik yang sedia ada ini kebanyakan cuma fikir ‘what’s in it for me’ berbanding apa yang terbaik untuk negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tambahnya lagi, perkara itu juga menunjukkan beberapa ‘hint’ perpecahan yang semakin berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk kegagalan Anwar untuk mendapat sokongan yang cukup.

“Sehubungan itu, kami seru Malaysia menuju politik matang dan sejahtera dengan pemimpin yang berwibawa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button