Berita Utama

Mengaku terima rasuah, pegawai Imigresen didenda RM30,000

Pendakwa raya mohon hukuman berat, ambil kira kesalahan tertuduh gadai keselamatan negara

AYER KEROH, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Mahkamah Sesyen memerintahkan bayaran denda sebanyak RM30,000 ke atas seorang kakitangan Jabatan Imigresen, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan menerima suapan bagi mendapatkan cap keluar masuk negara membabitkan warga asing, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Suboh, 29, dikenakan hukuman denda RM10,000 bagi setiap tuduhan atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, pada 30 Julai lalu, tertuduh ketika menjawat jawatan Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Jabatan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar Shah, Johor Bahru, didapati memperoleh suatu barang berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM360 oleh pemberi, Mohd Azril Azizan.

Pemberian itu adalah untuk mendapatkan perakuan cap keluar masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia, lapor Berita Harian.

Sementara, mengikut pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama yang membabitkan suapan masing-masing bernilai RM320 dan RM800.

Semua kesalahan itu dilakukan menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai, Ogos dan September 2018.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda sehingga RM 100,000 atau keduanya.

Tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya, selain baru mendirikan rumah tangga Mac lalu serta bakal menerima cahaya mata pertama.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman berat, dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh menggadaikan keselamatan negara, selain kes ini turut mendapat perhatian masyarakat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button