Berita Utama

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah lebih RM150,000

Tertuduh pertama mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama hingga ke-18

KOTA BHARU, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas 33 pertuduhan menerima suapan bernilai RM154,340.

Semua pertuduhan itu dilakukan sepanjang April 2018 hingga November 2019.

Memetik Harian Metro, tertuduh pertama, Mohammad Harris Rosli, 27, didakwa terhadap 31 pertuduhan membabitkan nilai RM152,940.

Mohamad Harris mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama sehingga pertuduhan ke-18.

Manakala, bagi pertuduhan ke-19 hingga 31, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tertuduh kedua, Fasmawi Ab Wahab, 24, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membabitkan nilai RM1,400.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Hariss yang bertugas di Jabatan Imigresen, Johor didakwa memperoleh wang daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi melalui akaun Maybank Islamic yang beralamat di Kota Bharu yang keseluruhan berjumlah RM152,940, sejak April 2018 sehingga November 2019.

Atas setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fasmawi yang juga bertugas di Jabatan Imigresen, Johor menghadapi dua pertuduhan itu, pada 26 Februari 2019 hingga 1 Mac 2019 didakwa memperoleh wang daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi melalui akaun Maybank Islamic Berhad yang beralamat di Jalan Hulu Pasar, Tumpat, membabitkan jumlah RM1,400.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Zaman Mohd Nor tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jami dan menetapkan 22 Disember sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan fakta.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhamizah Ghazali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button