Berita Utama

Selangor bina saluran paip bulan depan, alih air sungai tercemar

Bakal laksana langkah rawat air sungai menerusi teknologi nano

SHAH ALAM, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Selangor akan melaksanakan projek pembinaan saluran paip bagi mengalihkan air sungai yang dikesan tercemar, yang dijangka bermula bulan depan sebagai usaha mengatasi masalah pencemaran sumber air di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan saluran paip berkenaan akan membolehkan air sungai yang dikesan tercemar dialihkan ke lokasi lain daripada terus memasuki muka sauk loji rawatan air (LRA).

“Dalam peruntukan RM200 juta (yang diluluskan menerusi Belanjawan Selangor 2021), kita guna untuk bina paip supaya air sungai yang tercemar dapat dialihkan. Ia nampak mudah tapi kita perlukan 15 bulan bagi menyiapkan projek tersebut.

“Menerusi saluran paip itu juga, kita akan pam air simpanan daripada Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) ke sungai supaya LRA tidak akan putus bekalan dan dianggarkan air simpanan itu mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima hari,” katanya kepada pemberita, selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan langkah merawat air sungai menerusi teknologi nano supaya gangguan bekalan air akibat pencemaran dapat dikurangkan pada masa depan.

Katanya, walaupun isu pencemaran sumber air dan gangguan bekalan akibat henti tugas LRA di Selangor sering menjadi ‘bahan sensasi’ serta tohmahan pihak tertentu, namun ia tidak mengganggu fokus kerajaan negeri dalam mengatasi masalah itu sebaik mungkin.

“Jika kita lihat, ada juga negeri lain yang terputus bekalan air hampir dua minggu dan henti tugas LRA akibat pencemaran, tapi ia tak jadi isu panas mungkin sebab kepadatan penduduk di negeri itu tidak terlalu tinggi.

“Berbanding Selangor, walaupun kita atasi gangguan bekalan dalam tempoh singkat, namun sering menjadi perhatian dan tohmahan pelbagai pihak. Ia tidak melemahkan semangat kerana kerajaan negeri tetap fokus untuk kemuka cadangan serta peruntukan secukupnya bagi atasi masalah berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pengiktirafan antarabangsa yang diterima Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini, Amirudin berkata, ia layak diberikan kepada agensi itu atas keupayaannya menguruskan bekalan air dengan baik.

Katanya, walaupun ada yang ‘kurang senang’ dengan pengiktirafan terhadap Air Selangor itu, beliau menjelaskan bahawa isu pencemaran sumber air bukan di bawah bidang kuasa agensi tersebut dan anugerah berkenaan diberikan atas penilaian sewajarnya oleh pihak terlibat.

Khamis lepas, Air Selangor menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan agensi itu menerima pengiktirafan oleh ‘Global Water Awards 2020’ sebagai ‘highly commended’ bagi kategori ‘Public Water Agency of The Year’. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button