Dunia

Thailand rekod 17 kes baharu, 9 pulang dari Myanmar

Tindakan tegas terhadap individu yang masuk negara secara haram

BANGKOK, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Thailand merekodkan 17 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan sifar kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes 4,209 dan 60 kematian setakat ini.

Pusat Pentadbiran Situasi CVOVID-19 (CCSA) memaklumkan, kes tersebut turut melibatkan sembilan wanita Thailand yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Tachileik, bandar di sempadan Myanmar, sebaik sahaja mereka kembali ke negara itu pada Jumaat lepas.

Daripada jumlah tersebut, empat wanita berusia antara 19 dan 30 tahun kembali melalui laluan yang sah dan dimasukkan ke fasiliti kuarantin alternatif kerajaan (ASQ), manakala lima lagi wanita berusia antara 22 dan 35 tahun melintasi sempadan secara haram, dan kemudiannya menjalani ujian COVID-19 di hospital.

Dalam satu kenyataan, CSSA menyatakan setakat ini, sekurang-kurangnya 50 warga Thailand yang bekerja di pusat hiburan di Tachileik yang pulang ke rumah didapati positif COVID-19, dengan dua daripada kes itu dijangkiti di dalam negara.

Berikutan wabak yang melanda bandar di sempadan itu baru-baru ini, ramai warga Thailand yang bekerja di Tachileik kembali pulang ke negara asal, tetapi tidak melalui pusat pemeriksaan imigresen dan menghindari tahanan kuarantin.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang memasuki negara itu secara haram dan mengelakkan dari menjalani kuarantin.

Sementara itu, CCSA berkata lapan kes COVID-19 baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir, melibatkan empat warga Thailand yang kembali dari Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun dan Bahrain, dan empat lagi warga asing tiba dari Switzerland, Pakistan, Amerika Syarikat dan United Kingdom. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button