Berita Utama

Tun M, Ku Li eloklah bersara demi maruah diri

Biarkan kerajaan sekarang tadbir negara hingga akhir penggal

BANGI, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Intipati pengumuman dua veteran politik tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah petang tadi mendapat kritikan kebanyakan pengguna di media sosial.

Rata-rata netizen tidak ‘sebulu’ dengan kenyataan Dr Mahathir dan Ku Li yang membayangkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pembentukan kerajaan baharu dengan pembabitan dua tokoh berkenaan.

Ternyata pengaruh dan ‘bisa’ dua figura negara itu semakin hilang, apabila netizen menasihatkan mereka untuk bersara dan membiarkan kerajaan sekarang mentadbir negara sehingga penggal berakhir.

“Terlalu lama dah, eloklah pencen demi maruah diri,” tulis Lee Lie.

“Sepatutnya dalam keadaan ini, semua pihak perlu berganding bahu mengatasi masalah negara tanpa mengira fahaman politik. Tetapi, semuanya nak ambil kesempatan, yang menjadi mangsa rakyat,” kata Mohdjefri Yusoh.

“Berhentilah berpolitik, bagi orang muda pula terajui negara. Asyik kayakan kroni sahaja,” tulis Basli Ahmad.

Terdahulu, Dr Mahathir dan Ku Li membayangkan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal hilang majoriti melalui undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan ketiga di Dewan Rakyat esok.

Susulan itu, kedua-dua mereka secara terbuka menyatakan kesepakatan untuk bekerjasama membantu menerajui kerajaan baharu bagi memulihkan semula negara.

Jika kerajaan kalah, Dr Mahathir meminta semua Ahli Parlimen daripada dua pihak mengambil sikap wajar dan bertanggungjawab memastikan nasib rakyat serta negara diletakkan sebagai keutamaan.

“Kalau kerajaan gagal, bukan sebab saya mahu jadi Perdana Menteri dan menteri, tidak. Maknanya dia perlukan kerajaan baharu, 220 Ahli Parlimen perlu memilih kerajaan.

“Kita tidak minta sokongan. Cuma adalah orang datang minta supaya tidak bolehkah lakukansesuatu dibuat untuk kembali jadi negara maju,” katanya dalam sidang media bersama Ku Li, petang tadi.

Muak dengan ‘drama’ politik Malaysia, pemilik akaun Ainnur Fatiha berkata, ahli-ahli politik hanya sibuk berebut kuasa dengan agenda tersendiri, dan bukan serius mengutamakan nasib rakyat.

“Kalau demi rakyat, sepakat luluskan (Belanjawan) sajalah. Tak perlu nak buat ‘havoc’ lagi. Nanti PRU15 bertanding balik,” kata Mohd Redzuan Mohd Noor.

“Jika Ahli Parlimen utamakan rakyat, mereka patut sokong sebulat suara Belanjawan 2021,” kata Samsul Ali Imran.

Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh pernah dilabel sebagai seteru politik, hari ini turut mengumumkan kesediaan mereka bekerjasama dalam menawarkan pengalaman masing-masing untuk mencapai matlamat secara bipartisan di atas platform memajukan negara.

Tengku Razaleigh berkata, kerjasama mereka berdua dijalinkan atas dasar prihatin kepada nasib rakyat dan negara.

“Saya berharap perjumpaan kita hari ini akan bermula dengan langkah yang baik, langkah baharu, tidak mementingkan Dr Mahathir atau saya atau sesiapa pun, tetapi mementingkan rakyat lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button