Berita Utama

Tun M, Ku Li tawar diri bantu bangunkan semula ekonomi negara

Negara mungkin tukar kerajaan sekali lagi bila PN tak cukup sokongan majoriti

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Malaysia perlu wujudkan semula dasar pemimpin politik yang mahu memajukan negara berbanding kepentingan parti dan peribadi.

Atas dasar itu, dua veteran politik, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk berkhidmat dan menyumbang pengalaman bagi membangunkan semula ekonomi negara.

Dalam sidang media bersama hari ini, Dr Mahathir seolah-olah tidak menolak kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) – yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin – gagal bertahan kerana memiliki hanya dua majoriti sahaja.

“Kita sedar waktu ini negara kita banyak masalah. Keseluruhan sistem kerajaan pun tidak berjalan dengan baik, kerana kerajaan mempunyai kelebihan cuma dua undi sahaja.

“Dan semua ahli-ahli politik di Malaysia ini hanya asyik dengan politik sahaja. Politik untuk menentukan kedudukan mereka, dan kebanyakannya cuma pandang tugas mereka ialah untuk mendapat pendapatan lumayan, gaji besar,” katanya.

Meskipun tiada pengumuman ‘besar’ dibuat oleh kedua-dua tokoh itu, ia dilihat sebagai bentuk peringatan kepada Ahli-Ahli Parlimen yang bakal mengundi untuk bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021, yang dijadualkan esok.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, PN berisiko hilang sokongan pada pengundian bacaan ketiga RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021, yang memungkinkan negara sekali lagi bertukar kerajaan.

Justeru, sekiranya tiada sokongan, maka pembentukan kerajaan baharu mesti dilakukan, sekali gus menyarankan supaya pembentukan itu mengutamakan dahulu kepentingan negara berbanding parti atau peribadi.

“Kalau kita terlalu fokus parti, kita akan lupakan negara. Jika 222 wakil rakyat sayang pada negara, maka mereka janganlah pilih parti atau diri sendiri tetapi pilihlah negara.

“Kami berpendapat bahawa ada sedikit sumbangan yang boleh diberi dari segi politik dan pentadbiran supaya negara stabil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button