Berita Utama

BERJASA ucap takziah atas pemergian Ungku Aziz

Semoga jasa Allahyarham kepada umat Islam jadi timbangan amal soleh

BANGI, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) mengucapkan takziah atas kematian tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, petang tadi. 

BERJASA dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham adalah pengasas idea Lembaga Tabung Haji (TH) yang berdiri gah hari ini sehingga menjadi model kepada seluruh negara Islam yang lain. 

“Allahyarham adalah seorang tokoh ekonomi Melayu-Islam terkenal menerusi kertas kerja bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji ditulis Allahyarham pada 30 September 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Semoga semua jasa besar Allahyarham kepada umat Islam diangkat menjadi timbangan amal soleh beliau di akhirat nanti.

“Ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau sebentar tadi,” kata BERJASA hari ini.

Allahyarham yang berusia 98 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang tadi di Hospital Prince Court dan berita kematiannya dimaklumkan oleh isterinya, Rahaiah Baheran.

Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Allahyarham Ungku Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom (UK) adalah seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Allahyarham adalah tokoh penting di sebalik penubuhan TH dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Allahyarham yang juga adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button