Berita Utama

JAWI lancar stesen radio dalam talian

Inovasi sistem penyampaian dakwah melalui media interaktif

PUTRAJAYA, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melancarkan sebuah stesen radionya sendiri yang dikenali sebagai Radio JAWI.

Dalam laman Facebooknya, jabatan itu menjelaskan, Radio JAWI merupakan salah satu inisiatif Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan tahun 2020 hingga 2024 di dalam teras dakwah.

“Tujuannya ialah menginovasikan sistem penyampaian dakwah melalui media interaktif.

“Ia meliputi inovasi penyampaian pelbagai program kepada semua peringkat golongan sasar secara lebih berkesan dilaksanakan Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi,” katanya.

Bagi peringkat permulaan, siaran radio dalam talian ini akan beroperasi selama satu jam menerusi laman Facebook Radio JAWI dari jam 10 pagi pada setiap hari Rabu dan Jumaat dikendalikan oleh juruhebah DJ Kaaff, lapor Utusan.

Terdapat tiga segmen yang akan disiarkan iaitu Jawikan Jiwaku, Selamat Pagi Warga Jawi dan Apa Cerita Warga Wilayah?

Sesi percubaan siaran itu berjaya dilakukan pada 12 Disember lalu bagi menguji tahap kualiti audio dan visual sebelum ia ke udara pada 1 Jamadil Awal 1442 Hijrah atau 16 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button