Berita Utama

Kes rogol bekas Exco Perak dibicara di Mahkamah Tinggi

Mahkamah Persekutuan putus setelah benarkan rayuan Paul Yong

PUTRAJAYA, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapi bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak Paul Yong Choo Kiong akan didengar di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian setelah panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini membenarkan rayuan Yong supaya kesnya itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen belum bermula kerana menunggu rayuan pemindahan kes berkenaan.

Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mary Lim Thiam Suan membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan bertulis yang difailkan peguam Yong serta tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap rayuan itu.

“Ini adalah keputusan sebulat suara kami dan kami tidak menemukan kekhilafan dalam rayuan ini. Rayuan dibenarkan, perintah Mahkamah Rayuan diketepikan. Kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Tengku Maimun yang kemudian menetapkan 21 Disember untuk kes itu disebut di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai memaklumkan mahkamah bahawa beliau diarahkan agar tidak membantah rayuan Yong itu.

Peguam Datuk Rajpal Singh, yang mewakili Yong berkata perbicaraan diadakan di Mahkamah Tinggi setelah kedua-dua pihak mencapai “persetujuan” seperti yang dibangkitkan dalam penghakiman dengan keputusan majoriti 2-1 panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Feb lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak permohonan Yong itu manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang menentang keputusan berkenaan.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Rajpal yang mewakili Yong bersama peguam Salim Bashir, memberitahu media bahawa pasukan pembelaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana kes itu melibatkan isu perlembagaan terutama berkaitan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Beliau berkata pasukan pembelaan akan mencabar akta berkenaan berikutan dua saksi utama akan memberi keterangan secara tertutup.

“Dengan cara ini pasukan pembelaan dan tertuduh tidak akan dapat mengakses sepenuhnya kerana kami tidak dapat melihat saksi secara langsung. Kami akan membangkitkannya semasa sebutan kes di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 26 Nov, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Yong, 50, bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.

Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai tahun lepas antara 8.15 malam dan 9.15 malam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button