Berita Utama

Lihat realiti, bertanggungjawablah jika berhasrat jatuhkan kerajaan

Adakah rakyat, negara sedia melalui PRU15 dalam tempoh COVID-19?

BANGI, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Mana-mana pihak yang berhasrat menjatuhkan kerajaan digesa mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab, supaya rakyat dan negara tidak diheret dalam kecelaruan politik.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof tidak menafikan Ahli-Ahli Parlimen berhak menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya, termasuklah dengan cara menolak Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan realiti semasa khususnya COVID-19 dan ketiadaan calon jelas yang mendapat sokongan majoriti, maka hak itu tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan.

Ini kerana, situasi yang berlaku akibat daripada kejatuhan kerajaan perlu difikirkan sedalamnya, kata Dr Muhammad Fathi.

“Bila Perdana Menteri hilang kepercayaan, maka seorang Ahli Dewan Rakyat lain perlu dipilih untuk menjadi Perdana Menteri baharu. Pemilihan adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Ada empat tokoh yang kelihatan berkemungkinan akan dicalonkan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Dr Mahathir Mohamada dan Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Muhammad Fathi berkata, setakat ini tiada petanda jelas mana-mana daripada mereka akan mendapat sokongan majoriti.

Katanya, jika Perdana Menteri sekarang dijatuhkan, tidak mustahil ada parti yang mengambil sikap berkecuali dan enggan menyokong mana-mana tokoh yang dicalonkan.

“Jika tiada tokoh yang melepasi majoriti mudah, maka pilihan lain ialah pembubaran Parlimen dan seterusnya dalam masa 60 hari pilihan raya umum perlu diadakan.

“Soalnya adakah rakyat dan negara telah bersedia melalui PRU ke-15 dalam tempoh wabak yang belum reda ini?,” soalnya.

Justeru, beliau menggesa pihak yang berhasrat menjatuhkan kerajaan supaya bertanggungjawab supaya tidak memburukkan lagi keadaan ekonomi dan wabak pandemik.

“Perlu diingat juga bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberikan nasihat yang jelas agar ahli politik menghentikan segera segala politiking dan tidak mengganggu-gugat kestabilan kerajaan. 

“Sama-sama kita doakan agar para pemimpin politik kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufik bagi membuat keputusan terbaik demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button