Berita UtamaDunia

Umat Islam di Sri Lanka berang jenazah COVID-19 dibakar

Sami Buddha bimbang mayat dikubur cemari air bawah tanah

COLOMBO, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kemarahan orang awam di Sri Lanka semakin meningkat setelah sekurang-kurangnya 15 jenazah pesakit COVID-19 yang beragama Islam, termasuk seorang bayi, dibakar tanpa keizinan keluarga dan melanggar cara pengebumian Islam.

Pihak berkuasa kesihatan di Sri Lanka menegaskan semua jenazah COVID-19 mesti dibakar – walaupun mereka beragama Islam.

Tindakan itu dibuat selepas keluarga 19 keluarga mangsa COVID-19 Islam yang meninggal dunia menolak untuk menuntut mayat dari bilik mayat di ibu kota Colombo, hingga mencetuskan perintah oleh Peguam Negara, Dappula de Livera.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 orang – termasuk seorang bayi berusia 20 hari bernama Shaykh telah melalui proses pembakaran tersebut.

Pada hujung minggu, orang ramai mengikat ribuan pita putih ke pintu kubur yang menempatkan krematorium sebagai tanda protes.

Namun, pita itu telah dibuang oleh pihak berkuasa pada pagi Isnin.

Negara kepulauan itu telah mengalami peningkatan kes sejak Oktober, dengan jumlah jangkitan meningkat hampir 10 kali ganda mencatatkan lebih daripada 32,790 kes dan 152 kematian.

Menurut Majlis Muslim Sri Lanka, majoriti korban coronavirus di negara itu beragama Islam walaupun mereka hanya 10 peratus daripada 21 juta penduduk.

Jurucakap Majlis, Hilmy Ahamed berkata, umat Islam takut mendapatkan bantuan perubatan kerana mereka tidak mahu dibakar sekiranya mereka meninggal dunia.

Organisasi Kerjasama Islam bulan lalu mendesak kerajaan untuk mengizinkan umat Islam mengebumikan anggota keluarga mereka ‘sesuai dengan kepercayaan dan kewajiban agama mereka’.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengatakan pengebumian harus dibenarkan jika dilakukan dengan langkah berjaga-jaga

Tetapi Sami Buddha yang berpengaruh menegaskan bahawa mayat yang dikuburkan hanya akan mencemari air bawah tanah dan menyebarkan virus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button