Dunia

WHO, UNICEF bimbang kelemahan perkhidmatan air di fasiliti kesihatan

1.8 bilion berisiko dijangkiti COVID-29, penyakit lain

GENEVA, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kira-kira 1.8 bilion orang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 dan penyakit lain kerana tidak mendapatkan perkhidmatan asas air bersih di fasiliti kesihatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu laporan. 

Laporan itu menyebut, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) sangat penting untuk keselamatan pekerja kesihatan dan pesakit, namun ia gagal diberikan keutamaan. 

Katanya, peningkatan kes jangkitan COVID-19 bukan hanya berpunca daripada kelemahan sistem kesihatan, tetapi juga langkah pencegahan dan kawalan jangkitan yang tidak sempurna. 

Di seluruh dunia, satu daripada empat kemudahan penjagaan kesihatan tidak mempunyai perkhidmatan air, satu pertiga lagi tiada akses kebersihan tangan dan satu per 10 tiada perkhidmatan sanitasi, menurut laporan.

“Keadaan terburuk di 47 negara paling kurang maju (LDC) di dunia, iaitu satu perdua kemudahan penjagaan kesihatan tiada perkhidmatan air bersih, satu perempat kemudahan penjagaan kesihatan tidak mempunyai kemudahan kebersihan tangan di tempat rawatan dan tiga daripada lima lagi kekurangan perkhidmatan sanitasi asas,” katanya.

Anggaran awal laporan menunjukkan bahawa satu dolar AS perkapita perlu diperuntukkan untuk membolehkan semua 47 LDC mewujudkan perkhidmatan asas air di kemudahan kesihatan, sementara 0.20 dolar perkapita untuk setiap tahun bagi mengendalikan perkhidmatan itu. 

“Perkhidmatan (air) ini penting untuk golongan rentan termasuk ibu hamil, bayi baru lahir dan kanak-kanak. 

“Perkhidmatan WASH yang lebih baik dapat menyelamatkan sejuta wanita hamil dan nyawa bayi baru lahir dan mengurangkan kematian sewaktu lahir,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button