Berita Utama

110 pekebun haram Raub tak berhak pertahan tanah ceroboh

Undang-undang jelas penceroboh tiada ruang lawan notis pengosongan

BANGI, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – 110 pekebun haram durian Musang King di Raub tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mempertahankan tanah milik kerajaan yang diceroboh.

Perkara itu jelas termaktub dalam Seksyen 32 (1) dan Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Maka, jelas dari sudut undang-undang bahawa tiada ruang untuk penceroboh melawan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang sebelum ini, kata Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Muhammad Sabri Muda.

“Sepatutnya dalam kes ini, mahkamah dengan mudah sahaja untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka, tapi pelik kenapa perlu kepada penangguhan?

“Adakah ada campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

9 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan sekali lagi menangguhkan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman difailkan 110 pekebun haram berikutan terdapat afidavit baharu dikemukakan pihak plaintif.

Penangguhan dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi membolehkan pihak responden dan plaintif menyelesaikan pengurusan kes dan meneliti afidavit baharu untuk mengguna pakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan difailkan 94 lagi pekebun durian di Raub.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kerajaan Pahang.

Ia termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Kecewa dengan penangguhan itu, Ustaz Muhammad Sabri berharap kerajaan negeri serius dalam isu itu kerana membabitkan integriti dan maruah pihaknya serta Jabatan Perhutanan Pahang.

“Lantiklah peguam-peguam yang lebih berpengalaman dan berwibawa.

“Kita juga menuntut pihak SPRM meneruskan siasatan dalam kes ini walau apa pun keputusan yang akan dikeluarkan pada 23 Disember ini,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan, kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Beliau berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button