COMBAT saring COVID-19 menang anugerah SUPERB 2020
Selepas pandemik, unit COMBAT boleh diubah suai jadi wad isolasi tekanan negatif, klinik bergerak, pusat kawalan bencana toksik, makmal bergerak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 1 Jamadilawal 1442H – Siapa sangka hasrat murni pengamal perubatan untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat dengan mengangkat idea yang inovatif dan kreatif bersama sukarelawan profesional, menarik minat juri merealisasikan impian mereka ke peringkat lebih tinggi.
Dr Anas Mat Asis yang juga Pengasas Bersama Pasukan Unit Saringan Massa Mudah Alih (Unit COMBAT), mencipta kejayaan apabila tersenarai dalam 25 pemenang Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) Edisi 2020.
Program SUPERB adalah inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang memberi peluang pembentangan idea perniagaan kepada usahawan-usahawan permulaan perniagaan Bumiputera berumur 21 hingga 40 tahun yang berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam penghasilan produk dan perkhidmatan mereka.
Tema program SUPERB 2020 adalah berasaskan enam tema utama untuk memberikan kesan langsung kepada Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) iaitu ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0, perusahaan sosial, ekonomi perkongsian, bidang seni dan kreatif, kesihatan, inovasi makanan dan pertanian.
Usahawan yang mempunyai idea perniagaan atau pada peringkat prototaip yang berjaya di peringkat akhir SUPERB berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan berjumlah sehingga RM100,000.
Perniagaan yang sudah berada di fasa pra-komersial atau pengkomersialan pula berpeluang menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM500,000.
Berpeluang menemubual Dr Anas yang juga Naib Pengerusi Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, beliau mendedahkan bahawa idea COMBAT terhasil daripada keperluan mendesak ketika pandemik COVID-19 di negara ini.
Berpegang kepada prinsip di mana ada masalah, di situlah terhasilnya solusi, beliau berkata, niat pasukannya mencipta COMBAT kerana ingin melindungi pekerja penjagaan kesihatan dalam urusan menyaring dan memberi vaksinasi COVID-19.
“Antara tujuan penting juga kerana ingin memberikan peluang sama rata untuk semua rakyat menerima khidmat kesihatan terbaik, tidak kira sama ada di pedalaman atau di bandar. Setiap nyawa manusia itu nilainya tinggi tidak kira status harta, agama, bangsa dan negara.
“Allah berfirman: Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya,” katanya yang memetik Surah Al Maidah ayat 32.
Ditanya bagaimana pemilihan pemenang SUPERB 2020, Dr Anas berkata, COMBAT dipilih kerana ia menepati ciri-ciri dan impak berskala besar keperluan masyarakat ketika COVID-19.
Jelasnya, COMBAT merupakan ‘one stop solution’ bagi proses menyaring, mengisolasi, menguji sample, penyimpanan, penghantaran dan pemberian vaksinasi.
Tambahnya lagi, nilai COMBAT terletak pada keupayaanya untuk mempercepatkan proses saringan dan pemberian vaksin dengan selamat.
“Kos operasi dan kebolehan guna semula yang murah berbanding kos pembelian pakaian perlindungan diri (PPE) yang hanya boleh digunakan sekali pakai sahaja merupakan kelebihan COMBAT.
“Kami bersyukur kerana ditakdirkan oleh Allah dan diberi kepercayaan oleh pihak TERAJU SUPERB 2020 untuk merealisasikan impian kami demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
“Percayalah ini adalah kemenangan rakyat Malaysia secara amnya. Projek ini adalah projek #frommalaysian,formalaysians,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Pakar Perubatan Dalaman.
Setakat ini sebanyak dua Unit COMBAT dibangunkan. Unit pertama telah dibina daripada sumbangan orang awam diserahkan kepada Hospital UiTM Sungai Buloh, sementara satu lagi unit merupakan hasil pelaburan syarikat Combat Advance Meditech Sdn Bhd diletakkan di Kajang Plaza Medical Centre (KPMC).
Pasukan sukarelawan Doktor & Jurutera Reka Bentuk Menentang COVID-19 (DDEC19MY) telah bekerjasama dengan I-medik bagi mendapatkan sumbangan untuk unit pertama COMBAT.
Dr Anas berkata, I-Medik telah banyak membantu dalam mempromosikan COMBAT serta mengumpul dana dan sebagai ahli beliau yakin dengan kewibawaan dan keikhlasan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini.
“Insya-Allah saya dan pasukan COMBAT C19 MY akan bekerja keras untuk menambahbaik ciptaan kami dan akan segera menghantar unit-unit ke seluruh Malaysia dan harapannya juga ke luar negara.
“Selepas pandemik COVID-19, COMBAT boleh diubah suai dengan mudah untuk menjadi wad isolasi tekanan negatif, klinik bergerak, pusat kawalan bencana toksik, makmal bergerak dan pusat simpanan dan pemberian vaksin.
“Saya mengharapkan doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia, agar inovasi tempatan ini dapat membantu masalah global ini,” katanya.