Berita Utama

Agong isytihar darurat di Gerik, Bugaya

Tangguh PRK atas faktor ancaman kesihatan

BANGI, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua kerusi Parlimen serta DUN itu dibatalkan bagi mengawal penularan COVID-19.

Pengisytiharan itu dilakukan setelah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati bahawa adanya keperluan proklamasi darurat bagi kedua-dua PRK berkenaan.

Ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada baginda supaya mengisytihar darurat di dua bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri itu.

Muhyiddin berkata, pengisytiharan proklamasi darurat ini berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020, yang membolehkan PRK dibatalkan atau ditangguh ke tarikh lain kelak.

“Dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka Baginda, Jemaah Menteri pada 4 Disember 2020 telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik COVID-19 menular di negara ini.

“Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

“Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan secara serentak pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button