Artikel KhasBerita Utama

Ahli politik perlu berpegang titah Sultan Perak

Sultan Nazrin ingatkan pemimpin diberi jawatan untuk tidak lupa diri

MENJUNJUNG kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah sempena Istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14.

BERJASA Perak berasa amat teruja dan tertarik dengan titah Tuanku antaranya: “Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,”

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah memperingatkan semua ahli-ahli politik: “Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota, atau kata akan bertukar nada – berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,”

Sultan Nazrin juga mengingatkan pemimpin yang diangkat memegang jawatan tidak harus menjadi “lupa diri”.

“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.

BERJASA Perak mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar berpegang dengan peringatan yang diberikan.

Semoga mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta amanah demi rakyat dan watan.

BERJASA Perak juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Saarani Bin Mohamad selaku Menteri Besar Perak yang baru, serta barisan exco yang dilantik bagi menerajui negeri Perak.

Ustaz Zolkifli Ismail
Setiausaha Badan Perhubungan BERJASA Perak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button