Ambil kira semua faktor sebelum beli rumah di lot komersial
Pemaju tawar pelbagai kemudahan untuk ‘memancing’ pembeli muda

BANGI, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Pembeli disaran membuat langkah bijak serta tidak membeli rumah kerana terikut-ikut cita rasa kehidupan semasa, yang akhirnya membuatkan diri sendiri merana.
Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, trend pembinaan dalam kalangan pemaju swasta kini cenderung kepada pembangunan bercampur membabitkan pembinaan rumah di lot komersial.
Pensyarah Kanan, Pakar Perumahan dan Industri Pembinaan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, pembangunan bercampur itu membabitkan pembangunan transit (TOD), yang menawarkan pembangunan bertingkat dan lengkap dengan kemudahan terkini serta berhampiran kawasan kerja.
Beliau berkata, disebabkan perubahan gaya hidup pembeli rumah, terutama golongan muda eksekutif, pemaju kini berlumba-lumba menawarkan pakej perumahan sarat kemudahan tambahan.
Jelasnya, jika 10 tahun dahulu kebanyakan perumahan di lot komersial hanya mencukupi dengan kemudahan kolam renang dan gymnasium, kini pelbagai kemudahan lain ditawarkan pemaju bagi ‘memancing’ pembeli muda.
Katanya, ini termasuk penyediaan kawasan rekreasi, yoga, kompleks beli-belah, kafe dan landskap menarik.
“Namun, harus diambil perhatian kesemua fasiliti itu ada harganya.
“Dengan pembinaan pelbagai fasiliti, pembeli juga harus bersetuju membayar kos penyelenggaraan semua fasiliti dalam pakej pembelian perumahan.
“Pakej ini dipanggil parsel aksesori diselia badan penyelia (MC) dilantik selepas sekurang-kurangnya 25 peratus daripada jumlah agregat unit syer terjual oleh pihak pemaju,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zairul berkata, kebanyakan masalah bermula apabila pembayaran bagi menyelenggara fasiliti tidak berjaya dikutip secara konsisten.
Justeru, beliau berkata, Akta Pengurusan Strata (SMA) memperketatkan pengawasan bagi menyita harta pemilik culas membayar kos penyelenggaraan bulanan.
Katanya, pelbagai kajian dijalankan berkaitan permasalahan timbul hasil proses penyelenggaraan dan hak MC dilantik bagi memastikan semua fasiliti tidak terabai.
“Pembeli di kawasan lot kediaman komersial juga harus mempunyai akta berbeza berbanding pemilik di lot kediaman biasa yang tidak membabitkan pembangunan bercampur.
“Pembeli yang sudah membuat keputusan untuk membeli di lot komersial juga harus akur mengenai tarif yang akan dikenakan lebih tinggi berbanding kediaman di lot perumahan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, terdapat pro dan kontra bagi kedua-dua pemilikan di lot kediaman dan lot komersial.
Oleh itu, katanya, pembeli perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan membeli perumahan di lot komersial.
“Perumahan ialah pelaburan termahal dalam hidup. Selain harga, pembeli harus mengambil kira pelbagai faktor seperti akses tempat kerja, isu keselamatan dan reka bentuk projek perumahan.
“Bagaimanapun, bagi pembeli muda, akses pemilikan hartanah agak terbatas, memandangkan pembeli muda baru sahaja bekerja dan tidak mempunyai wang deposit mencukupi bagi membayar wang pendahuluan pembelian,” jelasnya.