Berita Utama

Hutang negara 56.8 peratus, masih pada had dibenarkan

Projek yang ditangguh seperti LRT3, MRT 2, ECRL diteruskan semula dengan skop dan kos yang ditambah baik

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilawal 1442H – Nisbah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir November lepas mencatatkan RM818.2 bilion atau 56.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, paras hutang itu masih di bawah had 60 peratus KDNK yang ditetapkan.

“Status kedudukan hutang kerajaan adalah berdasarkan statutori di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019(COVID-19) Akta 830 meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

“Ini menunjukkan hutang negara berada pada had yang dibenarkan,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang ingin tahu sama ada hutang kerajaan berada pada had yang dibenarkan.

Ketika menjawab soalan asal Mohd Yusmadi mengenai status hutang kerajaan berhubung projek mega yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan, Tengku Zafrul memaklumkan, obligasi pembayaran hutang tetap diteruskan seperti terkandung dalam perjanjian berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa projek yang ditangguhkan seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3),Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan semula dengan skop dan kos yang ditambah baik.

“Pada masa sama, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP), Tren Aliran Transit Massa 3 (MRT 3) dan Multi Product Pipeline (MPP) masih dalam proses rundingan untuk diteruskan semula,” jelasnya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button