Berita UtamaDunia

Indonesia beri vaksin COVID-19 percuma kepada rakyat

Pemerintah diarah utamakan peruntukan vaksin dalam belanjawan

JAKARTA, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu  – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini mengumumkan vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan.

“Saya sampaikan bahawa vaksin COVID-19 untuk masyarakat adalah gratis (percuma).

“Sekali lagi gratis, tidak dikenakan biaya sama sekali,” kata Jokowi menerusi siaran di laman YouTube rasmi Sekretariat Presiden hari ini.

Jokowi turut mengarahkan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani dan pemerintah provinsi agar mengutamakan peruntukan pembiayaan vaksin itu dalam Belanjawan 2021.

Pada 6 Disember lepas, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin COVID-19 dari China, manakala 1.8 juta dos lagi vaksin itu akan diterima pada awal Januari 2021.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM) badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia telah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech bagi melakukan penyelidikan vaksin COVID-19.

Menerusi kerjasama itu, Indonesia juga membangunkan vaksin “Merah Putih” dan sekiranya berjaya dijangka sebanyak 290 juta dos vaksin akan dikeluarkan menjelang pertengahan 2021. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button