Berita Utama

Kartel daging haram: Tiada anggota KPDNHEP terbabit

Siasat sama ada dijual semula kepada rakyat atau kepada restoran

PUTRAJAYA, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Tiada anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terbabit dalam kes kartel daging import haram yang dibongkar di Senai, Johor baru-baru ini, kata Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Beliau berkata, tiada siasatan dalaman perlu dibuat terhadap anggota penguat kuasa KPDNHEP berhubung kes berkenaan kerana proses import bukan bidang kuasa KPDNHEP.

Katanya, pembabitan KPDNHEP dalam siasatan kes itu adalah atas penyalahgunaan perkataan halal serta label lain terhadap daging itu yang digunakan dalam urus niaga syarikat terbabit.

“Siasatan bukan berkait sijil halal tetapi lebih kepada penggunaan perkataan halal yang digunakan terhadap daging import tersebut sama ada kebenaran itu diberikan oleh pihak berkuasa yang berwibawa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara juga diarahkan menyiasat daging tersebut “dibawa ke mana”, sama ada dijual semula kepada rakyat atau kepada restoran.

“Siasatan dijalankan untuk melihat ke mana daging-daging import tersebut dihantar. Ini sedang dikesan oleh pegawai KPDNHEP berdasarkan invois.

“Jika dikesan daging tersebut dijual di restoran dan disimpan di dalam bilik sejuk beku, daging akan dirampas,” katanya.

Katanya, syarikat terbabit dijangka didakwa dalam masa terdekat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru menurut Akta Perihal Dagangan 2011. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button