Berita UtamaDunia

Penduduk Palestin dihalau, walhal sudah menetap selama 60 tahun

Mahkamah Israel putuskan harta dibina atas tanah milik peneroka Yahudi

BAITULMAQDIS, 1 Jamadilawal 1442H – Bagi Nabil al-Kurd, dipaksa keluar dari rumah yang diduduki di sini sejak 1950 an akan menjadi nasib yang lebih buruk daripada kematian.

Lelaki berusia 76 tahun itu dan isteri serta anak-anaknya adalah di antara puluhan rakyat Palestin di bawah ancaman pengusiran dari dua daerah di bandar yang dipertikaikan, setelah mahkamah Israel memutuskan harta mereka dibina di atas tanah milik peneroka Yahudi.

Tuntutan hak milik terhadapnya dan yang lain di Sheikh Jarrah dan kawasan kejiranan kedua, Batan al-Hawa, adalah titik fokus rancangan pembangunan peneroka di Baitulmaqdis Timur, yang ditawan oleh Israel dalam perang pada 1967.

Kurd diperintahkan untuk diusir pada Oktober lepas, dalam tempoh 30 hari.

Dia mengemukakan rayuan di mahkamah daerah Baitulmaqdis, meskipun Hagit Ofran – koordinator projek untuk kumpulan antipenempatan Israel, Peace Now berkata, dia memiliki peluang tipis untuk membatalkan keputusan itu.

Mahkamah yang sama tahun ini telah mendukung beberapa tuntutan peneroka, berdasarkan dokumen abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang mendapat kecaman dari Kesatuan Eropah (EU), yang wakilnya di Baitulmaqdis mengatakan 77 warga Palestin berisiko dipindahkan secara paksa.

Status Baitulmaqdis – sebuah kota suci bagi orang muslim, Yahudi dan Kristian – berada di tengah-tengah konflik Israel-Palestin.

Warga Palestin mahu Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan kebanyakan negara menganggap penempatan yang dibina Israel sebagai haram.

Israel mempertikaikan hal ini dengan memetik susur galur dan sejarah ke wilayah itu, serta keperluan keselamatan dan hujah undang-undang.

“Sebilangan besar rakyat Palestin yang menghadapi pengusiran adalah pelarian seperti Kurd atau keturunan mereka, yang datang ke kawasan itu lebih dari setengah abad yang lalu.

“Peneroka dalam kes Kurd membeli tanah itu dari dua persatuan Yahudi yang mendakwa telah membelinya pada akhir abad ke-19,” kata Peace Now.

Peguam yang mewakili peneroka yang mendakwa harta Kurd enggan bercakap dengan Reuters.

Peace Now berkata, sekitar 14 keluarga telah diusir dari Batan al-Hawa sejak 2015 dan 16 dari Sheikh Jarrah sejak akhir 1990 an dalam kes seperti itu.

Pengusiran kebiasaannya ditangguhkan sementara rayuan didengar, dan beberapa penduduk telah mengemukakan rayuan kes mereka ke Mahkamah Agung Israel, tetapi keluarga Kurd tidak mengambil peluang.

“Keluarga saya telah menyiapkan barang-barang penting yang kami perlukan. Kami bersedia saat mereka tiba.

“… Kami memiliki kamera di rumah, empat kamera menunjukkan jalan dan ayah tetap berjaga pukul 2 hingga 3 pagi hanya untuk memerhatikan jika mereka datang mengusir kami,” kata anak perempuan Kurd, Muna. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button