Berita Utama

Ahmad Zahid dinafikan perbicaraan adil jika mahkamah tolak kenyataan Fadzlette

Berhubung kes 47 pertuduhan membabitkan dana milik YAB

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1444H, Selasa – Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Akalbudi Foundation (YAB) hari ini berhujah bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dinafikan perbicaraan yang adil jika Mahkamah Tinggi menerima hujah pendakwaan dan menghentikan saksi daripada memberi keterangan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata ini akan membawa kepada pelanggaran hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah pernyataan saksi pendakwaan ke-90 yang juga bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly telah dicabar oleh pembelaan.

“Pernyataan saksi Mejar Jeneral (R) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, saksi pembelaan kedua, hendaklah diterima selagi ia mempunyai kaitan dengan fakta dan isu yang relevan kepada pertuduhan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata Fadzlette ingin memberikan keterangan bagaimana beliau mengenali Mazlina dan perlakuannya ketika bekerja.

“Beliau ingin memberi contoh bagaimana Mazlina lebih cenderung bekerja secara silo, yang relevan dengan kes. Saksi juga ingin menunjukkan bahawa Mazlina bersikap berat sebelah terhadap tertuduh,” katanya sambil menambah bahawa Mazlina gagal mengikut arahan dan bukan seorang yang amanah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pula berhujah pembelaan tidak boleh menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 153 (2) Akta Keterangan 1950 kerana mereka perlu membuktikan bahawa Mazlina bersikap berat sebelah terhadap Ahmad Zahid.

Beliau berkata keterangan bahawa Mazlina tidak mematuhi arahan dan membuat keputusannya sendiri tidak termasuk dalam peruntukan itu kerana ia tidak membuktikan bahawa saksi pendakwaan itu mempunyai motif yang tidak baik terhadap Ahmad Zahid.

“Bagaimana keterangan ini, jika diterima oleh mahkamah, membuktikan bahawa Mazlina tidak mengikut arahan apabila beliau hanya berurusan dengan Ahmad Zahid dan bukannya Fadzlette? Sedangkan dalam kes ini, saksi kedua (Fadzlette) hanya kisahkan isu Mazlina tidak menghormati beliau,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk memutuskan perkara itu.

Semalam, pendakwaan membantah sebahagian daripada pernyataan saksi Fadzlette atas alasan ia tidak relevan dan tidak boleh diterima masuk oleh mahkamah sebagai bukti.

Fadzlette dijadual memberi keterangan pada perbicaraan itu semalam.

Beliau adalah setiausaha akhbar Ahmad Zahid ketika ahli politik itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kini merupakan pengarah media Presiden UMNO tersebut.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button