Berita Utama

SPR akur PRK Gerik, Bugaya dibatalkan

Sebarang prosiding bagi PRK di kedua-dua kawasan tak diteruskan

BANGI, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan Parlimen Gerik di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sebarang prosiding yang telah dimulakan bagi tujuan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kawasan itu tidak akan diteruskan.

Katanya, suatu tarikh lain akan ditetapkan bagi pelaksanaan kedua-dua PRK itu.

“SPR akur dengan keputusan dan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan suatu ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh ditetapkan bagi menjalankan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agong hari ini berkenan mengisytiharkan darurat di Gerik dan Bugaya supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua-dua kerusi Parlimen serta DUN itu dibatalkan bagi mengawal penularan COVID-19.

Pengisytiharan itu dilakukan setelah Al-Sultan Abdullah berpuas hati bahawa adanya keperluan proklamasi darurat bagi kedua-dua PRK berkenaan.

Ini selepas Muhyiddin menyembah maklum akan nasihat Jemaah Menteri kepada baginda supaya mengisytihar darurat di dua bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri itu.

Sebelum ini, SPR menetapkan PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan serentak pada 16 Januari 2021.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandang iaitu Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button