Berita Utama

Tiada lesen judi baharu diluluskan sejak 1990

Hanya satu lesen kasino dikeluarkan kepada Genting Malaysia Berhad

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Sebarang permohonan lesen perjudian baharu tidak diluluskan kerajaan sejak tahun 1990.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, sebanyak 1,902 lesen dikeluarkan kepada operator perjudian berlesen di seluruh negara setakat ini.

“Tiada lesen baharu dikeluarkan sejak 1990 setakat ini, hanya ada satu lesen kasino kepada Genting Malaysia Berhad.

“161 lesen (kelab, syarikat dan persatuan), lima lesen induk kepada Agensi Nombor Ramalan (NFO), 1,658 lesen untuk operator dan pusat jualan NFO serta tujuh lesen bagi perniagaan mesin.

“Bagaimana aktiviti ini dikawal, kerajaan kenakan terma, syarat lesen dan permit yang perlu dipatuhi operator perjudian berlesen. Dan kita mengutip hasil berdasarkan fi, cukai dan duti,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) dan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berkenaan kawalan ke atas aktiviti perjudian di negara ini.

Mohd Shahar menegaskan, kerjasama daripada semua agensi dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti perjudian haram.

“Untuk perjudian tidak berlesen, ia mempunyai jumlah melebihi perjudian berlesen.

“Kawalan aktiviti ini di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Insya-Allah perkara ini dapat dibanteras dengan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menyalurkan maklumat ini di kawasan sekeliling,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button