Berita Utama

Ah Long ditahan dipercayai aktif pinjaman tanpa lesen sejak 2016

Polis Melaka tumpas sindiket dengan tertangkapnya suspek

MELAKA, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Polis Melaka menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen, dengan tertangkapnya seorang lelaki yang dipercayai aktif dengan kegiatan Ah Long sejak 2016, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Cheng Perdana, pada Ahad (13 Disember) lepas.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, dalam serbuan yang dijalankan hasil risikan dan aduan diterima pihaknya, suspek berusia 40-an itu ditahan pada pukul 9 pagi di rumahnya, yang turut dijadikan pejabat bagi menjalankan aktiviti tersebut.

“Siasatan juga mendapati suspek turut mengenakan faedah bulanan antara enam hingga 11 peratus kepada pelanggannya, dengan kadar pinjaman ditawarkan antara RM500 hingga RM5,000, selain menumpukan peminjam di sekitar Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

“Polis percaya kira-kira 626 pinjaman masih aktif, dengan penemuan dokumen-dokumen individu peminjam dalam serbuan itu, yang kebanyakannya mangsa merupakan peniaga kecil, pekerja kilang, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Shahrul Lalli berkata dalam operasi itu polis turut merampas pelbagai barangan lain, antaranya lima telefon bimbit, sembilan kad debit dan 52 buku akaun bank pelbagai bank, wang tunai berjumlah RM15,000, kad pinjaman wang dan sebuah kereta jenis Produa Bezza.

Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula Isnin lepas (14 Dis) sehingga hari ini (17 Dis) di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam pada itu, Shahrul Lalli berkata penahanan suspek itu juga merupakan tangkapan pertama bagi kes pinjaman wang tanpa lesen tahun ini, manakala bagi tahun ini juga terdapat 33 kes lain yang turut melibatkan pinjaman Ah Long.

“Menerusi aduan juga mendapati kebanyakan peminjam adalah mereka yang terdesak, disebabkan kesempitan hidup selain peniaga kecil yang sukar mendapatkan pinjaman wang, kerana tiada dokumen sokongan lengkap dan sebagainya.

“Ada dalam kalangan peminjam mengadu menerima ugutan daripada Ah Long, yang bertindak dengan membuat panggilan dan menampal gegantung, bertujuan memalu serta menakut-nakutkan peminjam serta menyimbah cat kepada individu yang gagal membayar pinjaman,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button