Berita UtamaDunia

COVID-19: Kemboja tak rela jadi ‘tikus makmal’ China

Rela nanti vaksin diiktiraf daripada biar nyawa rakyat dalam bahaya

PHNOM PENH, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Kemboja yang merupakan sekutu dekat China sekeras-kerasnya mengumumkan bahawa ia tidak akan membenarkan rakyatnya menjadi ‘tikus makmal’ untuk sebarang vaksin yang dibangunkan Beijing.

Perdana Menteri, Hun Sen berkata, walaupun jika ada negara memberinya secara percuma vaksin COVID-19, yang belum diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau akan menolak untuk menerimanya demi menjaga kesihatan rakyat.

“Sekiranya vaksin tidak diiktiraf untuk digunakan dan kami menggunakannya untuk menyuntik orang, ia boleh menyebabkan kematian atau menjejaskan kesihatan, itu adalah sangat malang.

“Kami bersedia menunggu dan meneruskan memakai pelitup muka sementara menantikan (vaksin diiktiraf).

“Saya tidak akan membenarkan orang Kemboja digunakan untuk percubaan vaksin yang dilakukan oleh mana-mana negara atau syarikat melainkan ia diiktiraf oleh WHO,” katanya, menurut Khmer Times.

Hun Sen mengatakan bahawa beberapa negara telah menghasilkan dan melancarkan vaksin COVID-19, tetapi tidak ada yang diiktiraf oleh WHO, bahkan dari Russia, China, Amerika Syarikat (AS), Britain atau Jerman.

Sementara itu, Nikkei Asia melaporkan bahawa Kemboja akan memperoleh satu juta dos untuk kumpulan pertama vaksinasi COVID-19 tetapi tidak memilih suntikan Sinovac China pada tahap ini.

Hun Sen mengatakan stok vaksin telah dipesan melalui kemudahan COVAX yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mensubsidi vaksin untuk 92 negara berpendapatan rendah.

Program – yang dikendalikan oleh Gavi, Vaksin Alliance – memberikan sokongan kepada negara-negara miskin untuk mendapatkan vaksin untuk 20 peratus daripada populasi mereka, walaupun negara penerima mungkin diminta untuk membahagi kos hingga AS$2 (RM8.08) setiap dos.

Ia akan memberi akses kepada rawatan yang diluluskan oleh WHO. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button