Berita Utama

‘Datuk Roy’ dicekup bantu kes SPRM

Disyaki menyamar sebagai pegawai SPRM, minta rasuah RM60,000

PUTRAJAYA, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu.

Tiga daripada mereka termasuk perancang utama yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang mengaku sebagai Pengarah SPRM ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel di sini pada jam 4.30 petang semalam, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka pada jam 8.30 malam tadi.

Empat lelaki itu termasuk seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah syarikat berusia 39 hingga 54 tahun, direman enam hari bermula hari ini sehingga 22 Dis setelah SPRM membuat permohonan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat lelaki yang menyamar itu dikatakan telah meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada seksyen kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM.

“Hasil risikan mendapati ahli kumpulan itu sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM,” kata sumber SPRM itu, yang menambah kesemua pergerakan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berkenaan..

Menurut sumber SPRM itu, identiti seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan telah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan.

Pengarah Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman, yang mengesahkan penahanan itu, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.

Beliau turut menasihatkan agar berhati-hati dengan individu tertentu yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta wang rasuah untuk menyelesaikan kes siasatan SPRM.

“Kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM ini dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini memandangkan tindakan tegas SPRM menerusi pelbagai operasi yang dijalankan dalam tahun ini.

“Akan ada individu yang mengambil kesempatan menyamar dan meminta wang daripada orang ramai. Ini merupakan satu bentuk scam (penipuan) yang sedang berlaku,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button