Berita Utama

Hati-hati ada pihak menyamar pegawai SPRM

Empat ditahan ambil wang rasuah dakwa boleh selesaikan kes

BANGI, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Orang ramai dinasihat membuat pengesahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dihubungi oleh pihak yang mendakwa sebagai pegawai suruhanjaya itu atau timbalan pendakwa raya (TPR).

Saranan itu disuarakan selepas SPRM menahan empat individu yang mengambil wang rasuah daripada pihak yang sedang disiasat suruhanjaya itu, kononnya mereka boleh menyelesaikan kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kes berkenaan terbongkar hasil kerjasama daripada mangsa terbabit.

“Oleh itu, SPRM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik yang digunakan oleh suspek seumpama ini iaitu mendakwa mengenali rapat pegawai kanan SPRM, menunjukkan gambar-gambar bersama pegawai kanan SPRM.

“… menunjukkan kad-kad tertentu kononnya milik pegawai kanan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya di SPRM serta menunjukkan gambar-gambar berada di premis dan program-program pencegahan SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, taktik berkenaan digunakan bagi meyakinkan mangsa terbabit sekali gus bertujuan mendapatkan wang rasuah.

“SPRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara berkenaan turut membabitkan mana-mana pegawai SPRM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button