Berita UtamaDunia

Indonesia nafi dakwaan jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Perjuangan Palestin telah sekian lama disokong oleh Indonesia

JAKARTA, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Indonesia menafikan dakwaan media Israel bahawa negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu, berusaha menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Teuku Faizasyah dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tidak ada kemungkinan tersebut, dan kementerian itu tidak pernah berhubung dengan Israel.

“Dalam menjalankan dasar luar negeri Indonesia berkaitan dengan isu Palestin, Kementerian Luar Negeri secara konsisten bekerja sesuai dengan mandat Perlembagaan,” kata Teuku.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah akhbar harian berbahasa Inggeris Israel, The Jerusalem Post memetik sumber diplomatik yang tidak disebutkan namanya, melaporkan pada hari Ahad bahawa Oman dan Indonesia bakal menjadi negara seterusnya untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam beberapa minggu mendatang.

Terdahulu, Maghribi dan Israel telah mencapai kesepakatan yang dibiayai Amerika Syarikat (AS) untuk menormalkan hubungan, menjadikan Maghribi sebagai negara Arab keempat melaksanakan perkara itu sejak Ogos.

Indonesia sejak sekian lama menjadi penyokong kuat perjuangan negara Palestin dan telah menolak untuk berkomunikasi dengan Israel.

Semasa berucap di Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 3 September, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengulangi sokongan negaranya untuk Palestin.

Selain itu, kumpulan Islam Indonesia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin mengecam perjanjian normalisasi baru-baru ini antara beberapa negara Arab dengan Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button