Berita Utama

Pihak sekat Proklamasi Melayu zalim, takut bayang-bayang sendiri: Tun M

Takut orang Melayu bersatu dan salah laku terbongkar?

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 26 Syaaban 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan hari ini takut dengan bayang- bayang sendiri apabila cuba menyekat majlis pelancaran ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang sepatutnya berlangsung petang ini.

Bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu menyifatkan tindakan ‘mereka’ ini lebih zalim daripada penjajah British kerana menyekat suara orang Melayu.

Sekurang-kurangnya zaman pemerintahan British dahulu, orang Melayu tidak dihalang untuk bersuara dan berhimpun, dakwanya.

“Kita tidak faham kenapa kata kita ni rasis, tetapi apabila satu bangsa itu ditekan itulah rasis yang sebenar.

“Mereka takut salah laku mereka terbongkar, orang Melayu bersatu dan sedar perbuatan mereka selama ini,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Sekretariat Proklamasi Orang Melayu terpaksa dibatalkan kerana pengurusan dewan membatalkan tempahan penganjur.

Bagaimanapun, pihak pengurusan dewan tidak menyatakan sebarang alasan pembatalan.

Tun Mahathir sebagai Penasihat Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu berkata, pembatalan program ini masuk kali keempat, dan beliau mengandaikan mungkin didalangi individu yang takut bayang-bayang sendiri.

“Kalau mereka takutkan saya, parti saya kalah 125 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 bukan kalah sedikit tapi semua deposit hangus,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, gerakan itu bukan agenda politik tetapi bertujuan menyatupadukan orang mMelayu.

“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik, kami mahu menyatu padu orang Melayu yang kini semakin berpecah akibat politik negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button