Berita Utama

MKN Sabah usir 157 pendatang Indonesia

Semua tahanan berada dalam keadaan 'fit to travel' sebelum diusir

TAWAU, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengusir 157 pendatang haram warga Indonesia ke negara asal dengan menaiki feri dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia pagi tadi.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran siri ke-29 pada 11 pagi melalui jalan laut itu membabitkan 117 lelaki, 24 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.

“Seramai 7,053 pendatang haram diusir menerusi beberapa siri pengusiran sepanjang tahun ini, termasuk 298 individu daripada lain-lain negara yang diusir melalui udara termasuk membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong dan Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Seperti siri-siri pengusiran sebelum ini, katanya MKN Sabah menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Indonesia khususnya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia di Tawau dalam memastikan proses pengusiran berjalan lancar.

“Tindakan pengusiran ini adalah sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dan semua tahanan disahkan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir, manakala mereka yang didapati sakit atau bergejala akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyusupan pendatang haram agar segera menghubungi pihak Pasukan Petugas Khas Kebangsaan di talian 011-62511223 untuk tindakan lanjut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button