Berita UtamaDunia

Penduduk EU mula terima vaksin COVID-19 27 Disember

Beli sekitar dua bilion dos vaksin dengan enam syarikat

BRUSSELS, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan memulakan program vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran di seluruh benua pada 27 Disember.

Perkara itu diumumkan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen dalam kenyataan di Twitter hari ini.

“Tiba masa Eropah. Pada 27, 28 dan 29 Disember vaksinasi akan bermula di seluruh EU.

“Kami melindungi warganegara kami bersama. Kami #KuatBersama,” tulisnya.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) dalam satu kenyataan bertulis pada Selasa lalu berkata, mesyuarat untuk mengeluarkan keputusan mengenai vaksin BioNTech/Pfizer akan diadakan pada 21 Disember – lapan hari lebih awal dari yang dirancang.

EMA adalah agensi EU yang membenarkan penggunaan ubat-ubatan di seluruh negara anggota.

EU telah membuat perjanjian untuk membeli sekitar dua bilion dos vaksin dengan enam syarikat yang setakat ini menjalankan kajian vaksin ‘menjanjikan’ termasuk 300 juta dari Pfizer dan BioNTech.

Blok itu juga menandatangani kontrak dengan Moderna, AstraZeneca, CureVac, Johnson & Johnson dan Sanofi-GlaxoSmithKline. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button