Berita Utama

Polis siasat pencemaran najis babi di Sungai Kereh

50 termasuk wakil agensi, penternak babi, penduduk beri keterangan

TASEK GELUGOR, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Polis kini dalam peringkat akhir menyiapkan kertas siasatan berhubung pencemaran di Sungai Kereh, yang dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa najis babi sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, untuk tindakan seterusnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes itu pada 19 November lepas setelah menerima laporan polis daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang berhubung penceraman tersebut.

“Selepas laporan polis itu, kami membuka kertas siasatan dan sehingga hari ini seramai 50 individu termasuk daripada wakil-wakil agensi terlibat, penternak babi, penduduk dan pesawah di kawasan berkenaan telah direkodkan keterangan mereka.

“Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengambil sampel air di Sungai Kereh minggu lepas dan saya difahamkan pihak Jabatan Alam Sekitar turut melakukan perkara sama (ambil sampel air sungai) untuk mengesan sama ada terdapat DNA babi serta sampel dari lapan ladang babi yang dikenal pasti dalam masalah pencemaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, semua sampel yang diambil oleh pasukan forensik PDRM itu dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor untuk diuji dan pihaknya menjangkakan keputusan diketahui dalam masa terdekat.

Noorzainy berkata, pihaknya juga menjangkakan kertas siasatan itu siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi kerana terdapat beberapa maklumat serta keputusan makmal yang masih belum diperoleh polis.

“Polis sekarang ini dalam proses menerima dan mendapatkan semua data serta laporan daripada pihak berkaitan terutama beberapa agensi kerajaan untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dilupuskan ke dalam sungai.

Semalam, Jawatankuasa Petugas Khas yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Nadzri Yahaya mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau keadaan Sungai Kereh serta ladang babi di Kampung Selamat.

Jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) itu diarahkan untuk menyelesaikan isu pencemaran najis babi di sungai berkenaan berikutan sudah menghantui penduduk sejak 40 tahun lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button